Tuesday, April 6, 2010

Persoalan berapakah bilangan sah sholat Jumaat?

bismillah

Persoalan  berapakah bilangan sah sholat Jumaat?

 

Dalam masaalah ini terdapat  lima belas pendapat tentang bilangan sah sholat Jumaat. Antara yang paling kuat ialah;

Pendapat Yang Pertama:

Melayakkan Sholat Jumaat itu dengan 40 lelaki.  Ini adalah mazhab Asy-Syafi'i dan masyhur dari  Ahmad dan Ishaq dan riwayat dari Malik.

Mereka berdalil dengan bahawa As'ad ibn zurarah orang yang pertama menghimpunkan mereka di suatu tempat di Madinah yang dinamakan Nukai' Al-khudhumat dan  mereka ketika itu adalah seramai 40 Orang. Mereka juga berdalil dengan hadith jabir Ibn 'Abdillah disisi Ad-Daruquthni sesungguhnya dia berkata;

مضت السنة أن في كل أربعين فصاعداً جمعة

'Telah berlalu As-Sunnah sesungguhnya setiap 40 orang dan lebih melayakkan Jumaat'

Hadith ini adalah hadith yang sangat lemah, dilemahkan oleh Ibn Hajar Al-Asqolani didalam kitabnya Bulugh Al-Maram.  Hadith ini dikeluarkan oleh Ad-Daruthqutni (4-3/2) dan didalam sanadnya ada seorang yang bernama Abdul 'Aziz  Ibn 'Abdulrrahman, telah berkata Imam an-Nasa'i bahawa dia tidak dipercayai, dan Imam Amad menuduhnya sebagai pemalsu Hadith, maka hadith ini adalah hadith yang sangat lemah (ضعيف جداً )

Pendapat yang kedua:

Melayakkan sholat Jumaat dengan 50 orang lelaki. Ini adalah pendapat 'Umar Ibn Abdul 'Aziz yang diriwayatkan oleh Ahmad.

Pendapat yang ketiga:

Melayakkan sholat Jumaat dengan 12 orang.  Ini adalah pendapat Rabi'ah dan berdalil dengan hadith Jabir Ibn 'Abdillah;

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يخطب قائما فجاء عير من الشام فانفتل الناس إليها حتى لم يبقى إلا اثنا عشر رجلاً – رواه مسلم في كتاب الجمعة (11ظ30)

Diriwayatkan dari Jabir رضي الله عنه   ketika Nabi صلى الله عليه وسلم Berkhutbah sambil berdiri, datanglah pedagang dari Syam, lantas orang-orang bergegas pergi menyambut pedagang tersebut, sehingga tidak ada yang tinggal (dimesjid) ketika itu kecuali hanya 12 orang'. – riwayat muslim di kitab Jumaat (11/30)

Pendapat yang Keempat:

Melayakkan sholat Jumaat dengan 4 orang. Ini adalah pendapat Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya , Al-Auza'I, Malik dan laith.

Pendapat yang kelima:

Melayakkan Jumaat dengan 3 orang. Ini adalah pendapat Ibn Mubarak, Al-Auza'I, Ast-staury, Abu stur dan Ahmad didalam suatu riwayat darinya, dan pandangan ini telah dipilih oleh sheikh Al-'Ustaimin رحمهم الله  . Mereka berdalil bahawa bilangan paling sedikit untuk dikatakan berjemaah ialah tiga orang dan berdalil dengan  hadith  Abi Dardak;

ما من ثلاثة في قرية لا تقام فيهم الصلاة إلا كان استحوذ عليهم الشيطان – أخرجه أبو داود

'tidaklah tiga orang didalam suatu kampung yang tidak mengerjakan sholat kecuali mereka akan dikuasai oleh syaitan'  riwayat Abu Daud , hadith ini dihasankan oleh Al-Albani.

Pendapat yang keenam:

Melayakkan sholat Jumaat dengan apa yang melayakkannya untuk sholat berjemaah, yaitu dua orang. Ini adalah pendapat Al-hasan ibn Sholih dan Abu stur dan Daud Az-Zhohiri, dan pendapat ini dipilih oleh Ibn Hazm, As-Shon'ani, Asy-Syaukani, Shiekh Al-Albani dan shiekh Muqbil Al-Wadi'I  Al-Yemeni rahimahumullah jami'an. Mereka berdalil dengan Hadith Thoriq Ibn Syihab;

الجمعة حق واجب على كل المسلم في جماعة

'Sholat Jumaat itu adalah kewajiban bagi setiap Muslim secara berjemaah'

Dan Jemaah itu terhasil dengan sekurang-kurangnya dua orang, dan tidak ada dalil (dari Nabi صلى الله عليه وسلم ) yang menghadkan kepada sesuatu bilangan lebih dari itu.

Kesimpulannya:

Pendapat yang terakhir ini adalah pendapat yang paling dekat dengan kebenaran.

Adapun pendalilan mereka  yang menghadkan dengan empat puloh dan dua belas dan seterusnya itu adalah peristiwa yang berlaku secara kebetulan, adapun pendapatan mereka menghadkan kepada empat dan tiga juga tidak dapat diterima kerana tidak ada dalil kuat yang menyokong mereka.

Imam Asy-syaukani  رحمه الله  di dalam kitabnya   السيل الجرار (297/1) Dalam membantah pendapat yang mensyaratkan bilangan empat orang yang bermukim,  berkata: 'Pensyaratan dengan menghadkan bilangan empat orang  tidak ada dalil atasnya sama sekali. Dan begitu juga bagi yang menghadkan kepada bilangan yang lebih dari itu, dan adapun yang berhujah bahawa Sholat Jumaat itu harus di dirikan pada waktu tertentu dan bilangan tertentu yang hadir – ini adalah pendalilan yang salah dan tidak berpegang kepada kaedah dan tatacara beristidlal (berdalil), jikalau kaedah dan tatacara ini benar (berdalil dengan peristiwa kebetulan) maka berkumpulnya para sahabat dengan Rasulullah di setiap sholat merupakan dalil disyaratkan bilangan dalam sholat..!'

Katanya lagi: 'Walhasil, sesungguhnya sholat berjemaah sah jika didirikan seorang bersama Imam dan sholat Jumaat adalah bagian dari sholat-sholat fardhu yang lain, Maka barangsiapa yang mensyaratkan  dalam sholat berjumaat  itu harus lebih dari apa yang dikira sholat berjemaah (yaitu paling kurang ialah dua orang), mereka harus mendatangkan dalil.. dan tidak ada dalil dalam masaalah ini.

Dan katanya lagi; '…dan sesungguhnya syarat itu harus ditetapkan dengan dalil-dalil yang khas, ia menunjukkan ketiadaan sesuatu yang di syaratkan (bilangan tertentu) dengan  tiadanya  syarat yang menentukannya, Maka menetapkan sesuatu seperti ini yang tidak ada dalil padanya, apatah lagi  untuk menjadi dalil sebagai  suatu syarat..merupakan kesembarangan dalam sudut bahasa dan keberanian dalam membuat kebohongan terhadap Allah dan terhadap Rasulnya serta syariatNya. Dan merupakan suatu yang menghairankan,  pendapat dalam masaalah ini sampai hingga kepada lima belas pendapat, yang kesemuanya tidak mempunyai dalil kecuali pendapat yang mengatakan : 'sesungguhnya sah jemaah dalam sholat jumaat itu, apa-apa yang menjadi sah pada keseluruhan sholat berjemaah (yaitu dua orang)'.

Shiekh Al-Albani رحمه الله نعالى   dalam komennya didalam kitab silsilah dho'ifah berkata:  'Pendapatan inilah yang benar insyaallah ta'ala'.

Shiekh Al-'Ustaimin رحمه الله تعالى  dalam syarah Hadith Jabir didalam kitab bulugh Al-Maram,   'ketika Nabi صلى الله عليه وسلم Berkhutbah sambil berdiri, datanglah pedagang dari Syam, lantas orang-orang bergegas pergi menyambut pedagang tersebut, sehingga tidak ada yang tinggal (dimesjid) ketika itu kecuali hanya 12 orang', dia berkata: 'Hadith ini adalah dalil bagi pendapat yang mengatakan sah Jumaat itu dengan 12 orang. Akan tetapi pendapat yang mengatakan syarat sah Jumaat itu dengan 40 orang mengatakan  kemungkinan sahabat-sahabat  yang keluar itu akan kembali lagi, dan pendapatan lain pula mengatakan tinggalnya mereka 12 orang itu hanya berlaku secara kebetulan, kalau ditakdirkan yang tinggal itu kurang dari 12 orang akan berubahlah hukum..!

Bagi pendapatan yang mengatakan bilangan sah Jumaat harus 40 orang dan pendapat bilangan sah Jumaat itu harus 12 orang, dari setiap pendapat ini diperselisihkan, kerana jika pendapatan yang mengatakan bilangan haruslah 40 orang mengatakan bahawa kemungkinan mereka yang keluar tadi akan kembali..tapi kita mengatakan bahawa asalnya adalah mereka tidak kembali dan juga zhohir hadith menunjukan bahawa mereka tidak kembali kerana lafaz hadith menyebutkan : 'sehingga tidak ada yang tinggal (dimesjid) ketika itu kecuali hanya 12 orang' tidak pula mereka mengatakan : 'kemudian mereka kembali'.

Shiekh berkata lagi: ' kami seringkali mengulangi sebelum ini (kaedah usul) dikebanyakkan permasaalahan yang berlaku secara kebetulan itu tidak boleh dijadikan syariat, paling tidak kita hanya boleh menyatakannya mubah sahaja (jauh sekali untuk menjadikannya syarat). Kita sebutkan yang demikian itu sepertimana Rasulullah صلى الله عليه وسلم   pada malam di 'muzdalifah' turun dari kenderaannya lalu buang air  kecil kemudian berwuduk dan bersholat dua rakaat kemudian naik kembali kekenderaannya untuk pergi ke muzdalifah, maka apakah dari peristiwa kebetulan ini ) di syariatkan kepada para haji untuk turun buang air kecil (dan sholat dua rakaat) tidak, tidak disyariatkan.

Shiekh 'Amir As-Shon'ani berkata didalam syarahnya 'subul As-salam'; ..dan sesungguhnya tidak di syaratkan bilangan sah sholat Jumaat itu kepada bilangan yang tertentu, seperti dikatakan – harus 40 orang lelaki tidak juga seperti yang mengatakan – harus tidak kurang dari 12 orang lelaki, seperti mana yang diriwayatkan oleh Imam Malik sesungguhnya tidak ada dalil sesungguhnya sholat Jumaat tidak sah dengan bilangan kurang dari yang tersebut.

Semuga bermanfaat.

 

والحمد الله  -   الله أعلم

 

Rujukkan:

1.      Al-Quran Al-Kareeem

2.     Kitab ذي الجلال والإكرام  بشرح بلوع المرم  oleh shiekh sholeh Al-'Ustaimin رحمه الله

3.     Kitab  سبل السلام بشرح بلوع المرم oleh Imam Muhammad ibn ismail Al-Amir As-shon'ani.

4.     Kitab فتح العلام بدرسة أحاديث بلوع المرم  oleh As-Shiekh Abi Abdillah Muhammad ibn Ali ibn hizam al-ba'dani al-yemeni

5.     Kitab الموسوعة الفقهية الميسرة في فقه الكتلب و السنة المطهرة oleh husin ibn 'aurah al-'awaisyiah

 

No comments: