Akhi Muslim yang di hurmati,
Seringkali kita melihat di kebanyakan masjid ramai para jemaah yang tidak mengamalkan perintah Rasulullah sebagaimana sabdanya; ‘Rapatkanlah shof dan luruskanlah shof’, biarpun terkadang papan tanda besar tergantung di depan shof. Ini besar kemungkinan tidak sampai kepada mereka ilmu tentang bagaimana sebenarnya merapatkan dan meluruskan shof sebagaimana yang di perintah oleh baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم .
Maka dalam risalah yang kecil ini kami akan membawakan kaifiyyah bagaimana untuk mengamalkan perintah baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam merapat dan meluruskan shof didalam sholat berjemaah.semuga kita diberi taufiq untuk mengamalkannya.
Ketahuilah setiap perintah yang datang dari Rasulullah صلى الله عليه وسلم samaada perintah wajib atau perintah sunnah, janganlah kita pandang ringan, kerana keberkatan adalah bersama orang yang mengikutinya, dan fitnah dunia dan akhirat adalah bersama orang yang menyelisihinya, lebih-lebih lagi menyelisihinya setelah datang kepada kita ilmu.
HUKUM MELURUS DAN MERAPATKAN SHOF/BARISAN DALAM SHOLAT
Para ‘Ulama telah berselisih di dalam menetapkan hukumnya. Sebahagian ‘Ulama mengatakannya sunnah dan sebahagian yang lain mengatakannya wajib.
Zhohir dari perkataan Shiekh Islam Ibn Taimiyah bahawa hukumnya adalah wajib di sebabkan telah datang perintah dari Rasulullah صلى الله عليه وسلم supaya meluruskan shof dan juga kekhuatiran akan ancaman bagi sesiapa yang menyelisihinya, seperti sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم
‘Luruskan shof-shof kamu dan jangan kamu berselisih maka akan berselisih hati-hati kamu’.
Shiekh ‘Utsaimin رحمه الله berkata: ’Perkataan yang benar bagi masaalah ini ialah hukumnya wajib dan bahawa para jemaah akan menanggung dosa jika tidak meluruskan shof-shof mereka’.
Dalil-dalilnya akan kita dapati daripada perbahasan yang berikutnya, insya Allah.
PERINTAH-PERINTAH RASULULLAH SUPAYA MELURUS DAN MERAPATKAN SHOF
Sesungguhnya terdapat banyak hadis-hadis yang memerintahkan kita supaya meluruskan shof dan merapatkannya dan tidak membiarkan ada celah-celah renggang diantara satu sama lain.
Dari Anas bahawasanya Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda;
أتموا صفوفكم فإن تصوية الصف من تمام الصلاة
‘Sempurnakanlah shof-shof kamu kerana sesungguhnya pelurusan shof itu merupakan sebahagian daripada kesempurnaan sholat’ [riwayat Al-Bukhori dan Muslim]
Dari hadis Abi Huraira رضي الله عنه yang di riwayatkan secara marfu’, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda;
أقموا الصف فإن أإقامة الصف من حسن الصلاة
‘Luruskanlah shof di dalam sholat kerana pelurusan shof di dalam sholat adalah dari keelokkan sholat’.
Anas Ibn Malik رضي الله عنه berkata;
‘Ketika telah di lakukan iqomah, maka Rasulullah صلى الله عليه وسلم menghadapkan wajahnya kearah kami dan berkata;
“Tegakkanlah shof-shof kamu dan rapatkannya, sesungguhnya aku melihat kamu dari belakangku”. [riwayat AlBukhori dan ini lafaznya]
LARANGAN DAN ANCAMAN BAGI ORANG YANG BERSELISIH DALAM SHOF
Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda;
‘Apa-apa yang aku larang kamu dari berbuat maka tinggalkanlah, dan apa-apa yang aku perintahkan bagi kamu maka berbuatlah semampu kamu’. [hadis Ibn Umar rw Muslim]
Sesungguhnya Rasulullahصلى الله عليه وسلم memperingatkan kepada umatnya daripada perpecahan/perselisihan di dalam perkara ini kerana perselisihan didalam shof akan membawa kepada perselisihan hati.
Berikut adalah beberapa hadis larangan dari berselisih di dalam shof serta akibat dari perselisihan tersebut:
Dari Abu Masood dia berkata;
‘Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah memegang bahu-bahu kami di dalam sholat dan bersabda;
استووا لا تختلفوا فتختلفو قلوبكم
‘Luruskan shof-shof kamu dan jangan kamu
berselisih maka akan berselisih hati-hati kamu’.
Oleh itu Berkata Ibn masood رضي الله عنه ; ‘Kalian hari ini telah berselisih dengan perselisihan yang banyak’.
Rasulullah صلى الله عليه وسلم juga sangat memperhatikan tentang hal ini, sebagaimana hadis dari An-Nu’man ibn Bashier رضي الله عنه dia berkata;
‘Adalah Rasulullah صلى الله عليه وسلم menyusun shof sehingga menjadikannya seperti susunan anak panah, maka ketika melihat dada seorang pemuda (yang terkedepan) lantaran lalai darinya, beliau bersabda;
عباد الله سووا صفوفكم أو ليخالفن الله بين وجهكم
‘Wahai hamba Allah, luruskan shof-shof kamu atau benar-benar Allah akan menjadikan diantara kalian berselisih’. [dikeluarkan oleh Imam Muslim didalam sahihnya].
Dari Hadis Ibn ‘Umar رضي الله عنه yang dikeluarkan oleh Abu Daud, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda;
‘Barangsiapa yang menyambungkan shof maka Allah akan menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan shof, maka Allah akan memutuskannya’.
Berselisih di dalam shof ini juga menyebabkan was-was di dalam sholat di mana hati-hati kita diganggu oleh syaitan, iaitu dengan melalaikan hati kita, kerana syaitan masuk di celah-celah shof yang renggang tidak di rapatkan, sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم ;
رصوا الصفوفكم و حاذوا بالأعناق فوالذي نفسي بيده إني لأرى الشيطان يدخل من خلل صف كأنها الحذف
‘Rapatkanlah shof-shof kamu dan hampirkan diantara shof (antara shof awal dgn yg berikutnya) dan sejajarkan bahu-bahu kalian, demi nyawaku ditangan-Nya sesungguhnya aku melihat syaitan menyisir masuk di celah-celah shof seakan-akan anak kambing hitam’. [Hadis sahih riwayat Abu Daud atas syarat Muslim]
GANJARAN BAGI MEREKA YANG MEMELIHARA SHOF
Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang merapatkan Shof-shof sholat di antara mereka. Dari Al-Barak ibn ‘azibرضي الله عنه yang dikeluarkan oleh Abi Daud, Nabi Bersabda;
ما من خطوة أحب إلى الله من خطوة يمشيها يصل بها صفا
‘Tidaklah satu langkah yang lebih disukai oleh Allah daripada langkah seorang yang menyambungkan shof dalam sholat’.
`Shiekh Al-Albani رحمه الله telah mengesahkan Hadis yang di riwayatkan oleh ‘Aishah dari Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda;
من سد فرجة بني الله له بيتا في الجنة ورفعه درجة
‘Barangsiapa yang menutupi ruang-ruang antara shof, nescaya Allah membangunkan baginya sebuah rumah di surga dan meningkatkan bagi dia satu darajat’.
KAIFIYYAH/CARA-CARA DALAM MENGAMALKAKAN PERINTAH RASULULLAH DI DALAM SABDANYA; ‘LURUSKAN SHOF..!’ DAN ‘RAPATKAN SHOF..!’
1.Kaifiyyah meluruskan shof:
Menjadikan mata kaki atau buku lali sebagai ukuran dalam meluruskan shof bukan jari-jari kaki .
Menjadikan bahu-bahu saling bersejajar antara satu sama lain (tidak berselisih) iaitu tidak membongkok.
Shiekh ‘Utsaimin رحمه الله berfatwa dalam masaalah ini dengan berkata:
’Yang benar dengan bersandarkan dalil dalam pelurusan shof ini ialah dengan mensejajarkan mata kaki antara yang satu dengan yang lain dan bukannya jari kaki sebagai ukuran kerana panjang jari kaki antara setiap orang adalah berbeza ukurannya, tidak mungkin meluruskan shof itu kecuali dengan ukuran mata kaki’.
2.Kaifiyyah merapatkan shof:
Merapatkan dengan melekapkan (bersentuhan) mata kakinya dengan dengan mata kaki sahabatnya.
Berdiri dengan tidak terlalu merengangkan kaki dan tidak juga terlalu merapat, sehingga bahu-bahu dapat rapat dan saling menyentuh.
Shiekh ’Utsaimin رحمه الله berkata;
’Adapun sesungguhnya melekapkan antara mata kaki dengan mata kakii tidak diragukan warid dari para sahabat رضي الله عنهم kerana sesungguhnya mereka telah meluruskan shof-shof mereka dengan melekapkan mata kaki antara satu sama lain, yaitu setiap orang merapatkan dengan melekapkan mata kakinya dengan mata kaki sahabatnya.
Dalil-dalilnya adalah seperti berikut;
Dari Jabir Ibn Samuroh sesungguhnya dai berkata; Rasulullah telah mengerjakan sholat bersama kami dan dia kemudian bersabda;
ألا تصفون كما تصفون الملائكه عند ربها؟ فقال يا رسول الله كيف تصف الملائكه عند ربها؟ فقال يتمون الصفوف الأول و يتراصون في الصف
‘Apakah tidak kalian berbaris sebagaimana berbarisnya para Malikat di hadapan Tuhannya’? Mereka bertanya; Bagaimanakah mereka berbaris di hadapan Tuhannya wahai Rasulullah? Rasulullah bersabda: ‘Mereka memenuhi shof yang pertama dan merapatkan (buku lali )di dalam barisan’.
Dari Ibn ‘Umar رضي الله عنه , Bahawa Rasulullah صلى الله عليه و سلم bersabda:
أقيموا الصفوف وحاذو بين المناكب وسدواالخلل ولينوا بأيدي إخوانكم ولاندروا فرجات للشيطان و من وصل صفا وصله الله ومن قطع صفا قطعه الله
‘Luruskanlah shof-shof kalian dan sejajarkan bahu-bahu kalian dan tutupilah renggangan shof dan berlemah lembutlah dalam menarik tangan-tangan saudaramu, dan jangan biarkan ada celah-celah untuk syaitan (masuk mencelah). Barangsiapa yang menyambung shof (yang jarang) nescaya Allah akan menyambungkannya, dan barangsiapa yang memutuskan shof (membiarkan rengangan) nescaya Allah akan memutuskan ’. [Riwayat Abu Daud dengan isnad yang sahih]
Dari Anas Ibn Malik رضي الله عنه dia berkata, ‘Adalah Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda:
رصوا الصفوفكم و حاذوا بالأعناق فوالذي نفسي بيده إني لأرى الشيطان يدخل من خلل اصف كأنها الحذف
‘Rapatkan shof-shof kalian dan mendekatlah (antara shof pertama dan yang berikutnya), dan sejajarkan bahu-bahu kalian, Demi nyawaku ditangan-Nya sesungguhnya aku lihat syaitan masuk ke celah-celah shof (yang merenggang) seakan-akan anak kambing hitam’. [Hadis sahih riwayat Abu Daud atas syarat Muslim]
Dari hadis Anas رضي الله عنه , Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda;
أقيموا صفوفكم وتراصوا فإني أراكم وراء ظهري
’Luruskan dan rapatkan shof-shof kalian sesungguhnya aku melihat kalian dari belakangku’.
Kemudian Anas berkata; ‘..adalah seorang dari kami merapatkan bahunya dengan bahu sahabatnya dan kaki mereka dengan kaki sahabatnya di dalam sholat’.
Dan dari hadis An-Nu’man Ibn basyier رضي الله عنه dia berkata;’Rasulullah صلى الله عليه وسلم menghadap kepada kami dan berkata;
’Luruskan shof-shof kalian,luruskan shof-shof kalian,luruskan shof-shof kalian (sebanyak tiga kali), atau benar-benar Allah akan menyelisihkan hati-hati kamu’.
Maka dia (An-Nu’man) berkata; ’..maka aku telah melihat setiap orang dari kami melekapkan bahunya dengan bahu sahabatnya dan lututnya dengan lutut sahabatnya dan mata kakinya dengan mata kaki sahabatnya’.
SAHABAT-SAHABAT BERAMAL DENGAN PERINTAH RASULULLAH صلى الله عليه وسلم
Dalam hadis yang di riwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dari Malik Ibn ‘Amr رضي الله عنه dia berkata;
’Aku mendengar ‘Ustman Ibn ’Affan berkata; ’Luruskan shof dan setentangkan antara bahu-bahu kalian kerana ia merupakan kesempurnaan sholat’.
Dan katanya lagi; ’adalah ‘Utsman tidak mengangkat takbir sehingga dia mewakilkan seseorang untuk meluruskan shof’.
Dan dari Abi ‘Utsman An-Nahdi dia berkata; ’Adalah ‘Umar Al-Khottab meluruskan shof didalam sholat dengan berkata;’Maju ke depan ya fulan!’.
Akhi Muslim!, semuga Allah memberkati kami dan kalian.
Maka dalam perbahasan ringkas kita ini, dapatlah di simpulkan bahawa antara syarat kesempurnaan sholat adalah:
Meluruskan shof
Merapatkan shof
Menyempurnakan shof pertama
Maka hendaklah kita khususnya para Imam masjid memperhatikan shof dengan memerintahkan makmum supaya meluruskan dan merapatkan shof-shof mereka sebelum memulakan sholat demi mencapai kesempurnaan sholat dan juga merupakan sebahagian daripada amal ma’ruf iaitu bertolong-tolong dalam kebaikkan dan taqwa, seperti yang Rasulullah melakukannya, sebagaimana yang di terangkan oleh Al-Barak Ibn ‘Azib رضي الله عنه , berkata:
‘Adalah Rasulullah memeriksa celah-celah shof dari hujung shof ke hujung shof dengan meraba dada-dada kami dan bahu-bahu kami didalam shof’. [Hadis sahih riwayat Abu Daud]
Walaubagaimana pun, hendaklah kita saling berlemah lembut dalam membenarkan/mengkoreksi sahabat kita yang mungkin belum mengerti akan kewajiban ini.sebagaimana hadis dari Ibn Abbas رضي الله عنه yg dikeluarkan oleh Abu Daud, Rasulullahصلى الله عليه وسلم bersabda;
خيركم ألينكم مناكب في الصلاة
’Yang paling baik diantara kamu ialah yang ‘paling lembut’ bahu-bahu mereka’.
Imam Abu Daud berkata tentang makna hadis ini ialah;’Jika seseorang di tegur dan di ajak untuk meluruskan dan merapatkan shof, mereka tidak sombong dan segera mengamalkannya’. والله أعلم
Dan Hadis Ibn ‘Umar رضي الله عنه , Rasulullahصلى الله عليه وسلم bersabda:
أقيموا الصفوف وحاذو بين المناكب وسدواالخلل ولينوا بأيدي إخوانكم
‘Luruskanlah shof-shof kalian dan sejajarkan bahu-bahu kalian dan tutupilah renggangan shof dan berlemah lembutlah dalam menarik tangan-tangan saudaramu..’
[Riwayat Abu Daud]
والحمد لله
No comments:
Post a Comment